Headlines News :

Hidup manusia mesti beragama untuk raih tempat di sisi Allah

Oleh SAIFUL AZMI SHAFIE 

AGAMA dan kehidupan beragama merupakan unsur yang tak terpisah dari kehidupan dan sistem budaya umat manusia.

Sejak awal manusia berbudaya, agama dan kehidupan beragama tersebut telah menggejala dalam kehidupan, bahkan memberikan corak dan bentuk dari semua perilaku budayanya.

Agama dan perilaku keagamaan tumbuh dan berkembang dari adanya rasa kebergantungan manusia terhadap kekuatan ghaib yang mereka rasakan sebagai sumber kehidupan mereka.

Mereka harus berkomunikasi untuk memohon bantuan dan pertolongan kepada kekuatan ghaib tersebut, agar mendapatkan kehidupan yang aman, selamat dan sejahtera.

Tetapi apa dan siapa kekuatan ghaib yang mereka rasakan sebagai sumber kehidupan tersebut, dan bagaimana cara berkomunikasi dan memohon perlindungan dan bantuan tersebut, mereka tidak tahu.

Mereka merasakan adanya dan keperluan akan bantuan dan perlindungannya.

Itulah awal rasa agama, yang merupakan desakan dari dalam diri mereka, yang mendorong timbulnya perilaku keagamaan.

Dengan demikian, rasa agama dan perilaku keagamaan merupakan pembawaan dari kehidupan manusia, atau dengan istilah lain merupakan fitrah manusia.

Fitrah adalah kondisi sekali gus potensi bawaan yang berasal dari dan ditetapkan dalam proses penciptaan manusia.

Di samping fitrah beragama, manusia memiliki fitrah untuk hidup bersama dengan manusia lainnya atau bermasyarakat.

Dan fitrah pokok dari manusia adalah fitrah berakal budi, yang memungkinkan manusia berbudi daya untuk mempertahankan dan memenuhi keperluan hidup, mengatur dan mengembangkan kehidupan bersama.

Serta menyusun sistem kehidupan dan budaya serta lingkungan hidup yang aman dan sejahtera.

Dengan demikian dapat dikatakan bahawa manusia dengan akal budinya berkemampuan untuk menjawab tentangan dan memecahkan permasalahan yang dihadapi dalam kehidupannya baik yang bersumber dari rasa keagamaan maupun rasa kebersamaan (bermasyarakat), serta rasa untuk memenuhi keperluan dan mempertahankan hidup. Dan dengan akalnyalah manusia membentuk kehidupan budaya, termasuk di dalamnya kehidupan keagamaannya.

Selanjutnya, Agama dan kehidupan keagamaan yang terbentuk bersama dengan pertumbuhan dan perkembangan akal serta budi daya manusia disebut dengan Agama Akal atau Agama Budaya.

Sementara itu sepanjang kehidupan manusia, Allah telah memberikan petunjuk melalui para rasul tentang agama dan kehidupan keagamaan yang benar.

Para Rasul itu juga berfungsi untuk memberikan petunjuk guna meningkatkan daya akal budi manusia alam menghadapi dan menjawab tantangan serta memecahkan permasalahan kehidupan umat manusia yang terus berkembang sepanjang sejarahnya. Agama yang dibawa Rasulullah itu bukan hanya berkaitan dengan kehidupan keagamaan semata, tetapi juga menyangkut kehidupankehidupan sosial budaya yang lainnya.

Agama ini mendorong agar kehidupan keagamaan, kehidupan sosial dan kehidupan budaya lainnya dapat tumbuh berkembang bersama secara terpadu untuk mewujudkan suatu sistem budaya dan peradaban yang Islami yang dikenali sebagai tamadun yang pernah diraih pada era pemerintahan Islam di Sepanyol dan Khilafah Uthmaniyyah.

Fenomena agama selalu hadir dalam kehidupan manusia kerana manusia tidak boleh lepas dari Allah kerana agama sangat erat kaitannya dengan Allah. Adapun ia merupakan fungsi agama bagi kehidupan.

Ada beberapa alasan tentang mengapa agama itu sangat penting dalam kehidupan manusia, antara lain adalah:
1. Kerana agama merupakan sumber moral
2. Kerana agama merupakan petunjuk kebenaran
3. Kerana agama merupakan sumber informasi tentang masalah metafizika.
4. Kerana agama memberikan bimbingan rohani bagi manusia baik di kala suka, mahupun di kala duka.

Manusia sejak dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, serta tidak mengetahui apa-apa sebagaimana firman Allah dalam Q. S. al-Nahl (16): 78 yang bermaksud: “Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Dia menjadikan untukmu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi sedikit di antara mereka yang mensyukurinya.”

Pahala solat Subuh berjamaah dan sunat sebelumnya

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

 RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis Sohih riwayat Imam Muslim).

Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sobah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.

Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan Solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya. Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur.

Seorang Muslim bila dibiarkan begitu sahaja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan Solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain.

Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh. Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan Solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah).

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT. Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28).

Keutamaan Solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Tirmizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan Solat Subuh.

Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan Solat Subuh? Bukankah Solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada ‘Uthman bin ‘Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa Solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis Sohih riwayat Imam Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Pada hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya. Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis Sohih riwayat Imam al-Bukhari).

Dua waktu yang dingin itu adalah Solat Subuh dan ‘Asar. Mereka yang menjaga Solat Subuh dan ‘Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya.

Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis Sohih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim) Rasulullah SAW memberi janji, apabila Solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa sahaja yang mengerjakannya seharian penuh.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan Solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan Solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis Sohih riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Ibn Majah).

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara Solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan Solat Subuh

Mampukan Kita Melepasi Tujuh Sekatan Di Titian Sirat?

Sesungguhnya pemeriksaan amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan meniti.
Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi SAW : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” (Hadis Riwayat Muslim)

Orang Mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal soleh yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya.

Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang memimpin umat lain.
Dari Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” (Hadis Riwayat Bukhari)

Tahap kelajuan seseorang Mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, semakin laju menuju titian itu.
Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang As-Sirat: “…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuh sekatan tersebut adalah seperti berikut :

Sekatan Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain.

Apabila seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah ia boleh bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan aqidah ini terdapat syirik kepada Allah SWT dan telah rosak aqidahnya maka seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan ia akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.

Firman Allah SWT yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka sungguh ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat 48)

Sekatan Kedua : Mengenai solat fardu.

Soalat fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun tidak. Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas waktunya. Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya akan diperiksa satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di periksa solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat fardu tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )

Sekatan Ketiga : Mengenai puasa Ramadan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.

Jika puasa Ramadannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.

Sekatan Keempat : Mengenai zakat.

Jika ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya cukup nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan perjalanan ke sekatan kelima.

Terdapat hadis Nabi SAW yang menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu membayar zakat.
Sabda baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya,“Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahwa dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)

Sekatan Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.

Sekiranya semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak akan diterima oleh Allah SWT
Manakala jumhur ( kebanyakan ) `ulama` berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan pada akhir tahun ke-9 Hijriah setelah turunnya firman Allah SWT :
ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين
“ Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan haji , bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya . Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya AllahMaha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Surah Ali `Imran ayat 97)

Sekatan Keenam : Mengenai wuduk dan mandi hadas besar.

Jika diperiksa wuduknya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wuduknya tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.

Nabi SW bersabda maksudnya, “Sewaktu seorang muslim atau mukmin itu berwuduk, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Dikala ia membasuh kedua tangannya, maka terusirlah semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan air terakhir. Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka bersihlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah).

Sekatan Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan hubungan terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim yang dilakukan kepada orang lain).

Imam al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa adab anak-anak kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada menderhakai kedua ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga atau sesama Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan sebagainya.Pemimpin yang menzalimi rakyat dan membebankan dengan cukai yang tak sepatutnya akan tersekat di sekatan ke tujuh ini.
WallahuAlam

Manfaat media sosial jana persepsi baik pengundi muda

 Oleh Dr Saraswathy Chinnasamy

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal datang bukan setakat menguji soal survival parti UMNO, MIC, MCA dan GERAKAN serta komponen lain, tetapi melihat strategi mereka yang bakal meraih mandat yang besar. Soal mempertahankan legasi Barisan Nasional (BN) itu penting di PRU-14, malah perlu memberi lebih keyakinan berbanding PRU sebelum ini.

Persoalan penting perlu dititikberat ialah pembinaan persepsi orang muda terhadap UMNO dan parti komponen yang lain seperti MCA, MIC serta GERAKAN. BN wajar menyelami bagaimana orang muda melihat kedudukan BN dan parti komponen lain kerana mereka masih kurang pemahaman berhubung kedudukan UMNO dan parti komponen lain, walhal ia sejarah pembentukan negara.

Orang muda lebih cenderung melihat isu berbangkit sebelum PRU-14 berbanding manfaat dihulurkan oleh pihak kerajaan terhadap pembangunan sosioekonomi rakyat. Pemahaman berhubung kedudukan UMNO sebagai parti tunggak kepada parti komponen BN yang lain di dalam menjaga kepentingan semua kaum lain, termasuk Melayu dan bukan Melayu perlu difahami oleh golongan ini.

Kedudukan UMNO perlu dijelaskan kepada generasi muda bagaimana ia berdiri teguh dan utuh sebagai parti Melayu yang besar selama 71 tahun serta masih memerintah dan mengepalai parti komponen lain. Sekiranya struktur UMNO ini gelabah pada peringkat akar umbi, maka keseluruhan rangka strategi pembangunan parti komponen lain juga akan terjejas.

Hari ini, generasi muda atau pengundi muda merangkumi lebih 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini. Kedudukan mereka agak sukar dikenal pasti, sama ada sokongan golongan ini berpihak kepada parti kerajaan mahupun pembangkang. Mereka lebih cenderung berada di atas pagar dan selalunya akan membuat keputusan berhubung status serta keadaan isu semasa.

Pendekatan kini yang digunakan oleh kerajaan BN bagi menarik sokongan generasi muda ialah penggunaan media sosial dan strategi ini sama seperti dipraktikkan hampir semua parti komponen BN dan juga ahli politik sejak PRU-13.

Namun, rasionalnya ia perlu lebih daripada itu. Calon politik perlu memastikan mereka mempunyai hampir keseluruhan platform media sosial sehingga ke satu tahap, mungkin mereka beranggapan akan ketinggalan sekiranya tidak menggunakan aplikasi berkenaan.

Persoalannya, sejauh mana calon PRU-14 mampu bersedia mengguna pakai semua aplikasi ini bagi meraih sokongan. Rekod World Internet Stats menunjukkan, 24.5 juta penduduk kita adalah pengguna internet dan 19 juta adalah pengguna Facebook (FB). Maka, penyaluran maklumat akan lebih kepada platform media sosial, iaitu dari segi aspek penonjolan calon dan juga aktiviti kempen PRU-14.

'Facebook election'

Justeru, tidak hairan PRU-14 akan lebih berbentuk facebook election memandangkan populariti FB amat tinggi berbanding media sosial lain seperti Twitter dan Instagram.

Isu semasa yang memerlukan penjelasan umum oleh pengundi perlu diselesaikan segera dan juga perlu diuar-uarkan di media sosial supaya tidak wujud persepsi negatif berpanjangan. Ahli politik perlu menjawab fitnah atau berita palsu yang berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan membiarkan ia menjadi persepsi yang buruk.

Malah, media sosial pada hari ini, turut berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti dan ahli politiknya. Ia lebih menjurus menjana persepsi yang tidak baik apabila medium berkenaan dikongsi banyak kali oleh netizen. Kerajaan BN harus mengguna pakai medium sedia ada, iaitu media tradisional (cetak dan penyiaran) yang kini pada satu tahap sudah pun mampu menggunakan teknologi interaktif dalam menyampaikan berita semasa. Kebanyakan media arus perdana pada hari ini, menggunakan aplikasi interaktif dalam menyalurkan berita dan ia lebih digemari pengundi muda.

Walaupun dijangkakan PRU-14 mungkin menyaksikan jumlah undi berpecah mengikut beberapa kelompok parti, ada perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar bandar. Pengundi muda luar bandar lebih fokus kepada isu tempatan seperti bantuan kepada nelayan dan petani, manakala pengundi muda bandar pula fokus isu nasional atau semasa, membuat pemerhatian pentadbiran negara, isu ekonomi serta dasar luar negara.

Jelas, generasi muda ini mempunyai sokongan berbeza antara satu sama lain dan mereka akan tentukan detik mengundi nanti. Mereka tidak mempunyai sokongan yang satu, tetapi pelbagai sokongan. Maka usaha pembinaan persepsi yang baik tidak harus fokus kepada generasi muda Melayu sahaja, tetapi juga pada orang muda Cina dan India. Bagaimana mereka melihat parti yang mewakili kaum masing-masing. BN perlu terus mendekati dan memahami pengundi muda kaum lain jika hendak menang semula di kawasan pernah kalah.

BN perlu terus adakan pelbagai program mendekati orang muda walaupun di kawasan majoritinya pengundi berbilang bangsa. Mereka harus didekati kerana kategori umur mereka lebih banyak bersandarkan emosi dalam membuat pilihan dan perlu dibimbing ke arah demokrasi yang sihat dalam membentuk kerajaan berwibawa.

Calon muda

Datuk Seri Najib Razak mengambil kira faktor barisan calon muda yang mampu melahirkan pemimpin yang boleh menyahut cabaran akan datang. Legasi BN perlu diteruskan di mana konsensus antara semua kaum perlu dikekalkan. Tindakan bijak sekiranya pendekatan kombinasi calon muda dan calon berpengalaman diletakkan di satu barisan untuk hadapi PRU-14.

Muka baharu mampu menonjolkan wujudnya perubahan dalam parti atau kata lain, rebuilt the image yang boleh mengurangkan impak negatif. Isu berhubung pembangunan rakyat memang patut dibangkitkan dan tidak perlu bermain politik seperti konvensyen pembangkang kerana rakyat sudah muak mendengar agenda permainan politik.

Sebaliknya, mereka mahu melihat kerajaan yang mempunyai agenda jelas untuk mengukuhkan sosioekonomi rakyat dan negara, sekali gus memantapkan persediaan PRU-14.

Penulis adalah Penganalisis Politik/Media Sosial Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Shah Alam

Adakah sekolah masih selamat untuk 2018?

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid

Permulaan tahun baru menyaksikan ibu bapa dan pelajar memberi sepenuh perhatian ke atas pengurusan sekolah.

Pembukaan sesi persekolahan ini memberi peluang baru kepada pelajar untuk mencari iltizam kejayaan dalam kecermerlangan akademik.

Sekolah kekal sebagai nadi dan jaminan masa depan untuk anak-anak Malaysia. Tetapi, adakah keselamatan dan persekitaran sekolah di Malaysia masih selamat untuk 2018?

Sistem pendidikan Malaysia mengalami pelbagai peristiwa yang mengecewakan orang ramai pada tahun 2017.

Isu sepeti jenayah buli, gangsterisme dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menjadi topik utama akhbar dan media massa yang terus membimbangkan ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri apabila berbicara mengenai keselamatan sekolah.

Perkara ini sering dilupakan oleh pihak sekolah dan kerajaan.

Kita perlu memahami kajian yang dilaporkan oleh Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2017 menunjukkan tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia merasa takut dan bimbang akan jenayah buli.

Fakta ini dapat memberi gambaran jelas bahawa kanak-kanak Malaysia masih merasa tidak selamat akan persekitaran mereka, khususnya di sekolah.

Persekitaran sekolah yang tidak kondusif boleh mendorong kepada gangguan pembangunan pelajar dari segi emosi.

Lihat sahaja bagaimana situasi pelajar di 402 buah sekolah ‘hotspot’ dalam penyalahgunaan dadah, adakah mereka selesa untuk meneruskan pembelajaran mereka dengan persekitaran yang negatif?
Malah apa yang menggusarkan lagi apabila sekolah yang disenaraikan ini turut merekodkan masalah disiplin yang tinggi dan kehadiran murid ke sekolah yang tercorot.

Begitu juga dengan aspek keselamatan di sekolah yang seharusnya diambil sebagai satu kesedaran betapa penting untuk pendidikan pelajar.

Kebakaran di Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan sebuah maahad tahfiz di Kampung Baru pada penghujung 2017 merupakan peristiwa yang membuka mata pelbagai pihak akan pentingnya keselamatan infrastruktur di sekolah.

Kelemahan pihak pengurusan sekolah untuk memantau keselamatan sekolah harus dikritik dan pihak kerajaan tidak boleh hanya bertindak jika insiden tersebut bertambah serius.

Hakikatnya, isu mengenai persekitaran pembelajaran dan keselamatan sekolah masih dipandang mudah oleh pelbagai pihak.

Dasar pendidikan kerajaan hanya memberi tumpuan kepada pelaksanaan undang-undang dan hukuman dalam membenteras kes disiplin, jenayah buli, dadah dan ponteng sekolah, menyaksikan beberapa sasaran untuk mengekalkan persekitaran sekolah yang positif dan selamat tidak tercapai.

Malah, terdapat sesetengah pihak hanya melihat kejayaan sesebuah sekolah berdasarkan prestasi akademik, tetapi gagal memberi tumpuan kepada murid-murid yang memerlukan sokongan emosi dan moral.

Bukankah sepatutnya sekolah yang mempunyai kekurangan dan masalah diberi tumpuan utama
Perubahan dalam memupuk persekitaran posiitif dan selamat di sekolah harus bermula daripada pendidikan rendah dan pra sekolah.

Budaya mendidik dan toleransi antara semua warga sekolah seperti kemahiran komunikasi yang baik dan sikap hormat-menghormati harus diberi tumpuan penting bagi memupuk pelajar yang berhemah dan positif.

Pendekatan ini lebih berkesan berbanding pendekatan menghukum dan pemantauan yang ketat daripada pihak sekolah.

Keadaan fizikal sekolah juga harus diberikan tumpuan dari segi ruang dan keselesaan buat pelajar.

Keselesaan bilik darjah harus dipandang serius oleh pihak sekolah supaya pembelajaran dan budaya positif dapat diterapkan dalam pembangunan pelajar.

Mana mungkin kelas yang padat padat dan aturan kelas yang tidak kemas mampu meningkatkan fokus dan disiplin murid di sekolah.

Pihak pengurusan sekolah tampil dengan kesedaran yang lebih tinggi dengan perancangan dan pemeriksaan keselamatan berkala di bangunan sekolah. Status keselamatan sekolah harus dimaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa supaya ia dapat memberi panduan yang jelas apabila berlaku sebarang kecemasan.

Sudah tiba masanya tahun 2018 perlu menjanjikan peluang pendidikan dan persekitaran sekolah yang lebih positif dan selamat untuk anak-anak Malaysia.

Kesungguhan dalam membentuk persekitaran sekolah yang kondusif dan positif mampu melakarkan kegembiraan anak-anak apabila membawa ilmu pulang ke rumah, berbanding duka lara kepenatan akibat persekitaran sekolah yang negatif dan tidak menggembirakan.

 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER