Tapi, seperti yang saya selalu ingatkan padanya, saya bukan perempuan biasa. Saya tidak patuh pada prinsip tolak ansur atau saling memahami, sebab saya sudah sangat arif tentang jalan yang ingin dipilihnya itu. Saya bukan perempuan yang akan beralah untuk seorang lelaki yang berjuang.

Hati kamu terlalu keras, dia pernah menyebutnya begitu. Tapi dia juga perlu akur saya dibesarkan dan membesar dengan kenangan. Lalu bukankah hati akan menjadi keras ?

Mengapa perlu hidup dalam kenangan? Kenangan akan membutakan mata pada kehidupan hari ini, dia menyebut lagi dan saya selalu membalas bahawasanya, kenangan itu bukankah sifatnya akan selalu dikenang, selalu diingat lalu menjadikannya kenangan.

Sebenarnya, mungkin saya terlalu obses pada dia, seorang lelaki bernama Khairil yang saya temui di kampus. Kami bukan mahasiswa tahun 1970-an atau 1980-an yang lantang bersuara dan gagah berani berpidato.

Kami mahasiswa hujung 1990-an yang serba-serbinya mewah. Kami selalu didendangkan tentang kehidupan kami ini betapa sangat diberkati dan kami selalu diingatkan keberadaan kami di kampus adalah hasil penat dan payah perjuangan generasi silam yang berendam air mata, yang hancur luluh jiwa raga untuk kesenangan kami hari ini.

Justeru, pada satu saat selepas Isyak, apabila saya melihat dia sedang berucap, sedang berkempen untuk kerusi Majlis Perwakilan Pelajar saya jatuh cinta serta-merta.

Saat dia menyebut satu demi satu patah perkataan, manifestonya yang berulang-ulang, perjuangan, perjuangan, perjuangan, saya merasa hati saya sudah ditumbuhi sepasang sayap dan terbang masuk ke dalam dirinya, seorang Khairil.

Saya melihat dia sebagai pahlawan sasa yang akan membunuh sang geroda yang sekian lama bermahajaraja lela di bumi kami.

Dan dia menyambut sudah pastinya.

Cinta itu adalah perasaan aneh yang memungkinkan setiap urat dan saraf dalam diri sentiasa rasa gembira dan bahagia. Dan keindahan itu selalu disamakan dengan keindahan musim bunga, dan saya tidak pula mahu menafikan.

Waktu kawan-kawan rapat memberitahu, seorang Khairil itu bukanlah padanan yang sesuai untuk saya yang luka dihiris kenangan, saya tidak pun mengendahkan. Saya terlalu yakin mampu mengubah dia.

II

Satu saat selepas kami hanya berbaki beberapa minggu di kampus, saya diberitahu emak, datuk sedang tenat di selatan Semenanjung. Saya bergegas pulang, meninggalkan apa yang ada di hadapan, membuat lencongan untuk berada bersama datuk.

Datuk adalah pemuda tahun 1920-an yang seluruh jiwa dan kecintaannya adalah pada nusa dan bangsa. Datuk adalah pemuda yang menyisip keris di pinggang, yang keluar dan masuk ke kampung dan pekan untuk sebuah perjuangan.


Sewaktu datuk melihat ketaatan dominan kepada waris gapura, datuk sedikit gelisah. Bukan datuk menentang keabsahannya, bukan datuk menentang kedaulatannya tetapi datuk gentar dengan caranya, dengan gayanya.

Orang Melayu berhemah dan beradab. Beginilah kami, menarik rambut dari tepung jangan sampai berterabur, datuk diingatkan berulang kali.

Datuk diam dan perlahan-lahan sedar, dia itu datang dari luar jantung Malaya yang berbeza pengalaman hidupnya, meskipun mungkin daripada rumpun yang sama. Datuk mengikut bonda saudaranya ke selatan Semenanjung sejak usianya yang masih dalam hari.

Dan datuk, mungkin mewarisi sedikit dan tidak banyak kisah silam dizalimi Belanda. Almarhum ayahandanya mati dibunuh Belanda kerana mempertahankan pertiwi. Dan datuk dibawa lari oleh bonda saudaranya yang mencintai sesudah bonda kandung juga pergi dijemput ilahi.

Kisah hidup yang gelap sebegitu, walau menjadi remaja di selatan Semenanjung, terdidik di Asia Barat, datuk sukar juga membuang partikel emosi dan kenangan menjadi mangsa penjajahan kuasa Eropah.

Inggeris dan Belanda tidak serupa. Zalim dan budi bahasa juga tidak sama, kamu tidak boleh membawa ingatan masa silam untuk kehidupan hari ini, datuk diam dengan ingatan-ingatan yang selalu bersingpongang.

Dan selalunya, jika datuk bercerita tentang kisah silamnya, datuk akan lebih banyak terdiam. Datuk sangat berhati-hati.

Kata datuk, dengan segala kemewahan hari ini datuk mahu meluputkan kenangan yang pahit, datuk mahu hidup dengan bahagia, dengan sederhana.

Datuk mahu mencintai kehidupan ini secara sederhana, begitu datuk selalu menyebut yang selalu membuat saya terkait ingatan pada puisi-puisi lembut tetapi mengasyikkan dari tanah leluhur.

Datuk percaya pada perjuangan yang tulus ikhlas dan telus tetapi datuk hanyalah seorang dalam perjuangan itu. Siasah itu adalah dunia yang bersih di luarnya tetapi di dalamnya saraf dan uratnya berserabut, berselirat dan saling bergelut.

Hanya mereka yang licik yang akan tumbuh menjadi pohon dalam ladang siasah, saya ingat senyum datuk lewat kata-kata itu. Datuk yang selalu memendam getir dalam hati. Datuk yang enggan berkongsi dengan kami suka dukanya.

Hinggalah kemudian saya menyelongkar buku-buku datuk sewaktu dia terbaring di katil, akibat serangan angin ahmar.

Saat itu saya bertemu dengan catatannya tentang tahun-tahun 1930-an dan 1940-an juga tahun 1950-an yang getir. Tentang hujan yang membasah tanah selatan Semenanjung, tentang kejujuran dan kecintaan dan tentang tujuan dalam kehidupan, catatan tahun 1953.

Kata datuk, perjuangan itu mempunyai makna yang sangat luas dan definisinya berbeza-beza. Datuk mahu hidup dengan semua perbezaan itu dan menjadikan setiap orang dalam jantung Malaya ini hidup dan bernafas dengan satu tarikan.

Datuk mahu juga semua yang bernaung dan bersetuju menerima tanah ini sebagai ibunda mereka saling menyintai. Datuk tidak pernah percaya, perpecahan akan memudahkan pemerintahan.

Kata datuk, sejarah penjajahan sudah menduga kita dengan prinsip yang sebegitu lalu mengapa kita harus meneruskan yang buruk-buruk? Mengapa tidak memulakan hari baru dengan kehidupan yang saling menyintai dan menyayangi?

Melayu ini orangnya berhemah, menegurnya dengan kata-kata yang manis dan santun. Jika tidak, datuk tidak akan disanggah dengan pantun yang dilantunkan manis dan lemak merdu tapi tersisip bisa.

Pohon rimbun di tepi kolam
Bunga lebat harum melata
Usah mahu mengubah alam
Manakan sama air hujan dengan telaga

Duduk di atas akan jatuh juga ke bawah, itu aturannya. Namun kalau jatuh disentap, tergolek dan luka, bisanya sukar disembuh oleh masa. Begitulah datuk. Dia rasa sendirian dan kehidupan menjadi sunyi langsung sepi.

Kawan-kawan dalam perjuangan satu demi satu hilang. Kehidupan begitulah adatnya. Jarang ada yang mahu melihat jauh ke dasar melainkan terpana pada apa yang ada di permukaan. Sekalipun datuk mengunci semua kisahnya untuk diri sendiri, saya adalah antara cucu yang paling tahu
.
Saya tahu hingga kini datuk terluka. Datuk cuba bangkit bersama-sama rakan karibnya. Tahunnya 1953. Di situ bermula sebuah kehidupan menyambung perjuangan. Datuk percaya pada kesamarataan.

Mencari gelanggang lain si ayam jalak, saya membaca catatan itu pada helaian lusuh dairi datuk. Di bawah catatan itu ada nota kaki yang menuliskan tentang perlunya kekuatan hati untuk menghadap sindiran dan tohmahan.

Lambat-laun perpecahan akan memakan diri, menusuk hingga ke urat nadi lalu datuk mahu menyatukan selaksa suara menjadi satu. Datuk mahu jantung yang berdegup senada dan berkongsi irama.

Tapi tidak tertulis yang indah-indah itu menjadi miliknya. Pada catatan tahun 1969, datuk menuliskan dia menangis selepas perjuangan akhirnya terhenti. Pemergian rakan rapat mengakhirkan sebuah kehidupan.

Siasah itu adalah tentang persepsi dan pilihan. Siasah itu melihat keindahan. Siasah itu adakalanya membelakangkan keperluan. Datuk menitipkan begitu pada hari-hari akhir sebelum saya berangkat ke kampus.

Anak muda adatnya menanggung rasa, baik-baik menjadi anak muda. Datuk senyum dengan kepayahan dan senyuman itu lekat dalam ingatan saya sebelum datuk kemudiannya terbaring di katil. Saya menderita melihat datuk begitu dan sejak itu saya membenci lelaki yang berjuang.
III

Apakah kamu fikir aku hanya berjuang di kampus, soalan itu membuat saya hilang kata-kata. Saya memang memikirkan itu, memikirkan tentang perjuangannya yang akan terhenti selepas kami bergraduan.
Di luar sana, kehidupan tidak semudah hidup dalam dunia kampus yang kecil. Kehidupan akan ditekan dari kanan ke kiri dan setiap inci tubuh akan dikerah untuk meneruskan hidup. Sepak terajang dunia pekerjaan yang menenggelamkan perjuangan. Tapi Khairil bukan seperti yang dibayangkan.

Hidup adalah perjuangan, bukankah itu yang aku sebut pada hari pertama kamu mengenaliku?

Saya diam lagi. Perjuangan bukanlah semudah yang kita tuturkan Khairil. Ia memerlukan kekuatan jiwa yang luar biasa. Ia memerlukan kelicikan di luar duga.

Dan kamu tidak punya itu? Bukankah kamu anak Melayu? Atau kamu tidak mewarisi kekentalan semangat orang Melayu? Kamu tiada kegagahan Sriwijaya atau kekentalan semangat Langkasuka atau mungkin kehebatan manusia penghuni Dataran Sunda?

Saya tergelak besar. Khairil idealis mungkin.

Khairil, apakah kamu tidak membaca kitab-kitab sejarah. Dari zaman Mapajahit, hingga jatuhnya Langkasuka dan Melaka? Atau Palembang dan Sriwijaya?

Kami berpisah pada akhir pengajian tanpa selamat tinggal. Saya belum membuka pintu hati pada lelaki yang berjuang. Saya, melihat sepanjang hidup betapa deritanya kehidupan datuk sebagai lelaki yang berjuang. Dan saya tidak mahu lagi hidup dengan kehidupan yang sebegitu sewaktu Khairil memilih untuk kekal percaya pada perjuangannya.

IV

Aneh, sangat aneh melihat dia datang bertemu saya di selatan Semenanjung pada pagi akhir Syawal. Kami memang sudah lama tidak bertemu meski saya tahu segala tentang dia. Dia lelaki yang berjuang, pasti saja diketahui setiap pergerakannya.

Hari ini dia mendatangi saya dengan nestapa yang pernah meruntuhkan jiwa almarhum datuk. Dan sewaktu dia bercerita, saya terlihat-lihat bayang kecewa datuk tercetak di wajahnya.
Khairil, air hujan manakan sama dengan air telaga, ular lidi tidak akan mampu menelan naga. Khairil, kamu hanya mengulang sejarah yang luka.

Kamu tidak salah Laila waktu menyebut tentang lelaki yang berjuang, suaranya perlahan sahaja tetapi menghiris.

Saya memilih untuk mendengar. Angin selat menampar-nampar pipi tanpa belas. Sesekali saya melihatnya yang kelihatan seperti puluhan tahun lalu, masih menawan dengan anak mata yang coklat cair di sebalik kaca matanya.

Suaranya juga masih seperti dulu, enak merdu dan setiap satu patah kata-katanya menusuk jauh ke jiwa saya. Seingat saya sewaktu muda dahulu kata-kata yang begitulah yang membuatkan hati saya dipenuhi rama-rama.

Laila, kamu membesar dengan perjuangan yang dicantas, kamu melihat kepayahan hidup seorang lelaki yang punya keinginan melebihi kemampuan. Untuk kali ini sesudah puluhan tahun aku datang kepada kamu untuk memberitahu tentang kebenaran cerita-cerita kamu.

Saya menarik nafas perlahan. Saya tidak mahu menyebut apa-apa. Sesudah puluhan tahun, luka saya bertambah-tambah bisanya. Seorang Khairil asyik bercerita, mengulang kisah-kisah luka dari lipatan sejarah yang sudah lama saya ketahui.

Khairil, luka itu adalah pakaian lelaki yang berjuang lalu jadilah yang selayaknya. Jadilah lelaki berjiwa besar.

Pergilah dan jangan datang lagi kerana hari ini kamu melukakan hati seorang perempuan yang terlalu mencintai.