Headlines News :
Home » » Dalam kalangan umat Islam terdapat golongan zalim

Dalam kalangan umat Islam terdapat golongan zalim

Written By zabidi on Sunday 16 April 2017 | April 16, 2017

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

DALAM al-Quran ada menyebut mengenai doa Nabi Adam dan Nabi Musa a.s. yang mengaku bahawa mereka berdua ada melakukan kezaliman terhadap diri sendiri.

Kesalahan/kezaliman yang diperakui oleh Nabi Adam kerana baginda telah menyalahi larangan Allah daripada mendekati pokok yang terlarang, malah baginda memakan buahnya, akhirnya baginda dan isterinya Hawa diperintahkan keluar dari syurga.

Maka mereka berdua berdoa ke hadrat Allah SWT agar kezaliman yang dilakukan itu diampunkan oleh Allah seperti yang dirakam menerusi ayat 23 surah al-‘Araf yang bermaksud: “Mereka berdua (Nabi Adam dan isterinya) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya (menzalimi) diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi.”

Begitu juga Nabi Musa yang berdoa kepada Allah SWT dengan mengaku kezaliman/ kesalahan yang dilakukannya seperti yang tercatat dalam ayat 16 sura al-Qasas yang bermaksud: “Dia (Nabi Musa) merayu (dengan sesalnya): “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah – apalah jua kiranya – akan dosaku.” (maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Kesalahan Nabi Musa kerana telah membunuh seorang pemuda daripada pengikut Firaun tanpa niat atau sengaja.

Hal ini diceritakan sendiri oleh Allah dalam ayat 15 surah al- Qasas: “Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah daripada kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya).”

Apa yang perlu kita ketahui, bahawa para anbiya adalah golongan yang maksum iaitu dipelihara Allah SWT, namun kisah yang terjadi ke atas Nabi Adam a.s. sebagai contoh yang dianggap sebagai satu tindakan menzalimi diri adalah dirancang oleh Allah agar baginda menetap di bumi untuk menjalankan perintah Allah sebagai khalifah- Nya untuk menjalankan segenap undang-undang serta peraturan- Nya yang sesuai dengan bumi ini.

Itulah pengakuan secara telus, berani dan jujur oleh nabinabi. Ini menunjukkan bahawa kita sebagai manusia biasa sudah pasti melakukan banyak kesalahan dan kezaliman, sama ada terhadap diri sendiri ataupun orang lain. Perbincangan aspek kezaliman ini akan memfokuskan kepelbagaian aspek tersebut dalam konteks peribadi dan mereka yang berada di sekeliling kita.

Zalim sebagai individu Muslim

Apa yang perlu kita samasama fokuskan di sini ialah sebagai Muslim kita mesti melihat diri sendiri, apakah kita telah melakukan yang terbaik untuk diri, agama bagi mendaulatkan Islam sebagai agama yang benar daripada Allah SWT Yang Maha Benar. Ramai dalam kalangan umat Islam hari ini melakukan kezaliman terhadap diri sendiri, mereka jadi zalim pada diri sendiri disebabkan perkara berikut:
1. Orang Islam yang tidak duduk belajar mendalami ilmu-ilmu fardu ain hingga menyebabkan tidak menguasai agama dengan baik, padahal mereka hidup di dunia sudah menjangkau puluhan tahun, iaitu satu jangka masa yang agak lama.

2. Orang Islam yang tidak bersolat berjemaah di masjid/ surau, hingga tidak mengenali individu yang menjadi jiran tetangga dalam satu taman perumahan, tetapi apabila mahu mengadakan majlis kenduri, ketika itu baharu pergi jenguk ahli jemaah supaya mereka datang ke rumahnya untuk bacakan doa selamat, sedangkan pada hari-hari biasa dia pun tidak mahu selamat.

3. Akibat tidak menggarap ilmu agama dengan baik, maka muncullah orang Islam yang mencerca ulama, memberi gambaran contoh Islam tidak tepat kepada orang bukan Islam, penampilan diri yang mencurigakan dan bermacammacam lagi, tidak menyokong usaha kepada pemerkasaan undang-undang Islam, malah mencari jalan untuk menggagalkan pelaksanaan dan sanggup bersengkongkol dengan golongan bukan Islam mencari jalan agar undangundang Islam tidak berjaya untuk diperkasakan.

4. Akibat tidak menggarap ilmu juga akan melahirkan orang Islam yang secara sedar bercampur lelaki perempuan tanpa had batasan hukum agama yang akhirnya sanggup mencerca hukum-hukum agama seperti hudud, qisas dan sebagainya. Malah terdapat pada hari ini golongan yang cuba untuk tidak melaksanakan undang-undang berkenaan dengan alasan-alasan yang pelbagai dan berusaha untuk melengah-lengahkan daripada dilaksanakan.

5. Terdapat orang Islam yang zalim pada dirinya sendiri kerana tidak menunaikan solat lima waktu lantaran sibuk bekerja, berlatih hiburan atau sukan, sedangkan rezeki yang diperolehi adalah datang daripada Allah SWT. Perkara tersebut berlaku kerana kecetekan ilmu lantaran tidak menggarap ilmu agama dengan baik dalam kalangan umat Islam.

Zalim sebagai seorang ayah

Apabila Islam tidak digarap dengan baik, maka berlakulah pertembungan antara hak dan batil. Ia tidak kira sesiapapun akan dijangkiti dengan virus tersebut. Justeru bagi seorang ayah janganlah dia melakukan kezaliman terhadap anak-anak mereka seperti tidak menghantar pengajian ke sekolah-sekolah agama.

Kezaliman juga boleh berlaku apabila seorang ayah tidak menyuruh anak-anak perempuannya menutup aurat dengan sempurna, tidak menjaga pergaulan anak-anak perempuan mereka dengan remaja lelaki yang bukan mahram, tidak memantau kesungguhan anak untuk sentiasa bersolat lebihlebih berjemaah, tidak memberi nasihat, prejudis terhadap anakanak tanpa alasan yang sohih dan bermacam-macam lagi.

Apatah lagi hari ini ayah tidak mengambil tahu apa yang dilakukan oleh anakanak perempuan mereka yang ‘berchatting’ dengan golongan lelaki melalui facebook, twitter, instagram dan yang sewaktu dengannya, terdapat dalam kalangan mereka yang menghantar gambar-gambar untuk dikenali, maka golongan ayah seperti ini zalim kerana membiarkan tindakan anakanak perempuan mereka tanpa sebarang halangan dan sekatan.

Zalim sebagai seorang suami

Lelaki yang bernama suami boleh dianggap zalim menurut kaca mata Islam, jika tidak memberi kefahaman ilmu Islam hingga isteri keluar rumah dengan tidak mengenakan pemakaian menutup aurat sempurna atau menutup kepala dengan hijab (tudung kepala), atau membenarkan peniaga lelaki masuk rumah ketika ketiadaan suami pada masa itu.

Ini berlaku kerana tidak ada kefahaman mendalam tentang ilmu Islam. Maka suaminya dianggap zalim kerana sanggup membiarkan isteri tidak berilmu dan melanggar hukum agama.

Zalim sebagai seorang guru

Orang Islam perlu sedar, terutama mereka yang terlibat dalam kerjaya perguruan, walau apapun bidang yang diajarnya, maka mesti ada kesedaran mendalam untuk mendidik anak-anak murid dengan penuh rasa tanggungjawab. Dia tidak boleh menyembunyikan beberapa perkara daripada ilmu yang ada padanya bimbang nanti anak muridnya lebih bijak daripadanya. Ini satu sikap yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Penampilan guru juga terutama guru Muslimah mesti menutup aurat dan kepalanya dengan hijab dengan beralasan bahawa dia hanya mengajar Matematik dan bukan juga seorang ustazah. Kalau ini berlaku, maka guru tersebut telah menzalimi diri terhadap murid dengan penampilan yang terlarang dalam agama dan mencontohkan sesuatu yang tidak baik yang dilarang oleh agama.

Zalim sebagai seorang ketua/ penyelia

Begitu juga kerjaya seorang ketua jabatan atau penyelia yang membiarkan anak-anak buahnya tidak menunaikan solat, sama ada solat lima waktu atau solat Jumaat, kerana peranan orang Islam di dunia adalah untuk beribadat kepada Allah termasuk menjalankan pekerjaan. Yang lebih zalim jika ketua/penyelia menghalang pekerja daripada menunaikan solat dengan pelbagai alasan. Mereka mungkin boleh menghalang daripada melakukan solat Dhuha yang hanya sunat yang digalakkan.
Kerana kerja adalah lebih wajib daripada sunat, tetapi solat Zuhur walaupun ketua haling, maka pekerja tetap melakukannya.
Zalim sebagai seorang anak
 
Sesungguhnya anak adalah aset paling penting kepada kedua ibu bapanya seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah dalam hadisnya.

Justeru jika terdapat anakanak hari ini tidak sanggup atau tidak mampu mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa mereka terutama yang telah meninggal dunia, agar Allah SWT mencerah dan melapangkan kubur mereka, maka anak seumpama ini adalah anak yang zalim kerana bakhil untuk berbuat sesuatu kebaikan untuk ibu dan bapa yang mengharapkan ihsan doa daripada mereka.

Perbahasan mengenai isu zalim dan kezaliman ini tidak berakhir dengan apa yang telah disebutkan seperti di atas, walau bagaimanapun diharap ia boleh membantu bagi penambahbaikan diri masing-masing ke arah yang lebih baik untuk kebaikan diri di dunia dan akhirat.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER