Headlines News :
Home » » Sejarah penerbitan Harakah

Sejarah penerbitan Harakah

Written By zabidi on Monday 22 May 2017 | May 22, 2017

Oleh M FAQIH
 
Pengenalan:
PAS melebarkan pengaruh hanya melalui majlis- majlis penerangan yang dianjurkan di seluruh Tanah Melayu ketika awal penubuhannya di Pulau Pinang pada tahun 1951. Di Kelantan PAS diperkenalkan oleh Setiausaha Agungnya, Othman Abdullah dan Setiausaha Kerja PAS, Mohd Asri Muda pada satu majlis penerangan yang diadakan di Dewan Majlis Agama Islam Kelantan pada tahun 1953.

Menurut Salahuddin Abdullah sambutan majlis penerangan itu cukup menggalakkan sehingga PAS mulai bertapak di Kelantan dan Mohd Asri Muda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan serta Terengganu.

Mohd Asri kembali ke Kelantan pada 1953 selepas menetap di Madrasah al- Misriyyah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana bekerja sebagai Setiausaha Kerja PAS di pejabat agung parti itu.

Menurut Salahuddin se lepas kembali ke Kelantan Mohd Asri berusaha menubuh cawangan-cawangan PAS di seluruh jajahan di negeri tersebut.

Usaha mengembangkan PAS melalui majlis-majlis penerangan diadakan memandangkan PAS tidak mempunyai kemudahan lain bagi menyampaikan maklumat mengenai parti kepada orang ramai.

Yang Dipertua Agung PAS ketiga, Mohd Asri Muda pernah mengusahakan penerbitan majalah Penyedar yang diterbit atas nama Badan Kebajikan Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu mengikut jejak langkah Indonesia.[1]

Risalah awal diterbit PAS
Selepas bertapak agak kukuh di Tanah Melayu PAS mengusahakan beberapa penerbitan berupa risalah sebagai medium maklumat kepada orang ramai terutamanya ahli-ahli atau penyokongnya di seluruh negara. Menurut Subky Abdul Latif penerbitan tersebut diberi nama Suara Islam dan Bulan Bintang.

Suara Islam diberi nama oleh Timbalan Yang Dipertuan Agung PAS, Zulkiflee Muhamad.[2]

Suara Islam merupakan media rasmi PAS Pusat, di mana pada peringkat awal diterbit hanya secara stansil (Salahuddin Abdullah, 2010:47).

Bagaimanapun menurut Subky nama Suara Islam kemudiannya tukar pula kepada Bulan Bintang pada zaman Mohd Asri Muda. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertuan Agung PAS pada 1965.

Pemimpin PAS juga pernah berusaha untuk memiliki akhbar Warta Negara, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Usaha itu dirintis Haji Yusof Abdullah al Rawi, Zulkiflee Mohamad, Mohd Asri Muda dan Nik Man Nik Muhamad.

Pada 1954 Mohd Asri mewujudkan Badan Perhubungan PAS Kelantan dengan menyewa sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab Kota Bharu dan pejabat itu juga sebagai tempat bagi menerbitkan suara rasmi PAS iaitu Majalah Suara Islam.

Majalah Suara Islam yang diusahakan Mohd Asri merupakan media rasmi PAS Pusat. Pada peringkat awal diterbit hanya menggunakan kaedah stansil, kemudian selepas itu baru di cetak di kilang percetakan milik Majlis Agama Islam Kelantan.

Menurut Salahuddin Abdullah Majalah Suara Islam diterbit pertama kali pada 17 Disember 1956. Antara penulis yang aktif menyumbang rencana untuk majalah Suara Islam ialah Ustaz Manggaiti terkenal dengan nama penanya Said al-Hadi.

Beliau ketika itu bertugas sebagai pegawai agama di Jabatan Agama Islam Johor.

Suara Islam bilangan empat tahun ketiga antara lain memuatkan rencana mengenai jihad akbar, tinjauan politik tanah air, kita dan pilihan raya, dari hati ke hati, di sekitar cita-cita politik PAS dan lain-lain.

Rencana pengarang yang diberi tajuk Jihad Akbar antara lain mengupas mengenai persediaan menghadapi pilihan raya yang dianggap sebagai kemuncak bagi pertarungan parti-parti politik sehingga muncul suasana hentam menghentam begitu hebat dan dahsyat dalam usaha mencari undi.

Oleh itu pengarang mengingatkan
pemimpinpemimpin dan ahli-ahli PAS supaya sentiasa bersikap tenang dan berwaspada dalam menghadapi gelora tersebut. Pengarang juga mengingatkan medan pilihan raya itu sebagai ujian atas keteguhan iman dalam perjuangan.

Menurut Salahuddin ekoran penerbitan majalah Suara Islam, PAS mulai mendapat sambutan rakyat terutamanya golongan ulama yang mengetuai institusi- institusi pondok yang terdapat di Kelantan.

“Apakah kita masih percaya atau tidak kepada kemampuan Islam boleh menyelesaikan soal-soal kekurangan atau Islam itu hanya agama untuk manusia semata-mata. Kita minta umat Islam menginsafi hakikat itu kerana pilihan raya ini pada inti dan isinya ialah perjuangan ideologi.

Jika umat Islam dapat menyedari persoalan ini dengan baik maka kemenangan cita-cita politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS pasti akan tercapai.”[3] Yusof Rawa juga pernah menerbitkan majalah Mingguan Islam yang dikenali dengan nama al-Islah.

Editorial majalah tersebut menurut Salahuddin diketuai Ustaz Abdul Muttalib Azmi dan dibantu Ustaz Zaki Fadzil.

PAS Kelantan juga menerbitkan risalah yang dinamakan sebagai Siaran PAS Kelantan. Salahuddin menjelaskan beliau mengendalikan penerbitan Siaran PAS Kelantan ketika bertugas sebagai pengarang Majalah Kelantan yang dimiliki kerajaan negeri Kelantan.

Majalah Kelantan diterbit dalam edisi jawi bermula sekitar tahun 1968. Ini berdasar rekod penerbitan pada Julai 1975 dicatat di majalah itu bagi jilid ke-7 atau tahun ketujuh.

PAS juga menerbit risalah khas hasil usaha Pejabat Agung PAS yang memuatkan catatan mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan pada 17 September 1965.

Menurut Salahuddin risalah itu turut memuatkan penjelasan Menteri Besar, Mohd Asri Muda mengenai ucapan anggota parlimen Bachok, Zulkiflee Mohammad ketika membahas rang undang-undang (penubuhan) Malaysia, di mana PAS sejak dari awal lagi mengambil sikap menentang kemasukan Singapura dalam Malaysia.

Jabatan Penerangan PAS Pusat juga pada 7 Mac 1967 menerbit risalah setebal 59 halaman yang bertajuk “Rakyat Mengugat” memaparkan ucapan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Mohd Asri Muda yang membahaskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967).

Risalah tersebut menurut Salahuddin dijual dengan harga 50 sen dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan ahli dan penyokong PAS serta orang ramai. Salahuddin menyifatkan penyebaran risalah ucapan Mohd Asri menyebabkan pengaruh PAS semakin merebak dalam masyarakat Melayu dan umat Islam.

Siaran PAS Kelantan bilangan 3 jilid II pula memuatkan berita mengenai kepulangan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dari Parlimen disambut wakilwakil rakyat PAS dan orang ramai yang menunggu di Bukit Yong, Pasir Puteh.

Majalah Bulan Bintang yang muncul menggantikan Suara Islam diterbit Pejabat Agung PAS bilangan 9 tahun pertama memuatkan berita mengenai kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Bachok Utara yang diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Ustaz Shafie Ahmad. Pada pilihan raya kecil tersebut calon PAS, Mohammad Nor Ismail menewaskan calon Perikatan, Ismail Ahmad. Pada peringkat awal Setiausaha Agung PAS, Abdullah Zawawi Hamzah bertindak sebagai pengarang majalah Bulan Bintang. [4]

Menurut Baharuddin selepas Abdullah Zawawi meninggal dunia tanggungjawab menerbit majalah tersebut dikendalikan Jabatan Penerangan PAS Pusat di mana beliau bertindak sebagai pengarang dana pengurus. Setelah penerbitan Bulan Bintang terhenti kemudian pada 1973 Ibu Pejabat PAS menerbit Berita PAS yang mendapat permit daripada KDN, sebagai lidah rasmi PAS yang dicetak dalam tulisan rumi dalam bentuk siklostil.

PAS Pusat juga menerbit siaran-siaran akhbar bagi menjelaskan isu-isu tertentu yang berlaku pada era awal perkembangan parti Islam terbabit di negara ini.

Antaranya Siaran Akhbar berita penangkapan ahli Exco kerajaan Kelantan, Ahmad Yatim yang berlaku di rumahnya di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas pada 1969 atas dakwaan terbabit dengan gerakan subversif komunis tanpa dapat dibuktikan.

Penerbitan Harakah 

PAS sejak awal lagi memerlukan sebuah akhbar, namun tidak berkemampuan untuk berbuat demikian kerana ia memerlukan modal yang besar. [5]

Bagaimanapun menurut Subky PAS menerbit dalam bentuk majalah iaitu Suara Islam dan Bulan Bintang serta risalah secara tidak berkala dalam tempoh agak lama.

Tidak ada penerbitan lain yang diterbit secara berkala kerana tidak mendapat permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun penerbitan yang diusahakan PAS juga bergantung kepada peruntukan kewangan, di mana sekiranya ada wang penerbitan sesuatu risalah diusahakan, dan begitu juga sebaliknya.

Tidak ada penerbitan milik PAS yang diterbitkan secara komersial selepas itu. Penerbitan secara tidak berkala yang diusahakan PAS sekadar mengisi ruang sahaja dan bukan lagi diusahakan secara komersial.

Selepas pilihan raya umum 1986 bermacam-macam risalah tidak berkala yang diterbit PAS.

Bagaimanapun Subky memberitahu risalah-risalah yang diterbit PAS sering berdepan dengan tindakan oleh kerajaan termasuk dirampas. Disebabkan rampasan yang dilakukan KDN menyebabkan PAS membuat risalah dalam bentuk majalah tanpa menggunakan nama tetap yang diterbit seminggu sekali bergantung kepada isu tertentu yang berlaku.

Menurut Subky majalah isu yang diterbit PAS ketika itu bergantung kepada isu yang berlaku minggu tersebut. Beliau diberi tanggungjawab untuk menghasilkan beberapa rencana berhubung isu yang berlaku untuk diterbitkan dalam bentuk majalah tanpa diberi nama khusus. Selepas beberapa ketika menerbitkan majalah berdasar kepada isu semasa.

Subky menjelaskan beliau bersama Yusof Jalil mengadakan mesyuarat dengan Ketua-Ketua Penerangan PAS dari seluruh negara.

Pada mesyuarat tersebut Subky memaklumkan beliau hendak menerbit sebuah suratkhabar di mana harganya RM1 bagi setiap keluaran. Pada mesyuarat terrsebut beliau juga meminta ahli-ahli PAS membuat langganan sehingga empat isu.

“Sebelum habis keluaran awal saya meminta ketuaketua penerangan dari seluruh negara melanggan lagi sehingga empat isu (keluaran).

Dan mereka perlu membayar terlebih dahulu untuk dijadikan modal percetakan.
Jadi orang pun hantar duit. Bagaimanapun sebelum isu keempat diterbitkan tiba-tiba PAS sudah mendapat permit KDN.”[6]

Menurut Subky usaha untuk mendapat permit Harakah dilakukan Naib Presiden PAS, Nakhaie Ahmad pada masa itu. Permit yang dikeluarkan KDN atas nama Setiausaha Agung PAS yang dinamakan sebagai Pengarang Harakah. Kelulusan permit penerbitan oleh KDN disebut sebagai akhbar dalaman.

Permit penerbitan Harakah dilulus pada 1 Mac 1987 dengan mentakrifkan Harakah sebagai surat berita atau akhbar pertubuhan. Subky memberitahu beliau dipanggil Nakhaie untuk menerbitkan akhbar Harakah seumpama bidan terjun.
Menurut Subky duit yang dikumpul ketika bermesyuarat bersama ketua-ketua penerangan PAS dari seluruh negara dimanfaatkan untuk mencetak Harakah keluaran yang pertama.

Jumlah yang dicetak bagi keluaran pertama sebanyak 12,000 naskhah dan dijual dengan harga sebanyak 60 sen.

Permintaan bagi keluaran pertama di luar dugaan sehingga PAS-PAS kawasan dari seluruh negara memohon tambahan edaran Harakah, namun ia tidak dapat dipenuhi memandangkan Harakah edisi kedua sedang dalam proses penerbitan. Ketika itu Harakah diterbit seminggu sekali.

Harakah memohon kekerapan penerbitannya supaya ditambah kepada dua kali seminggu pada 7 Mei 1990, selepas akhbar itu mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

Permohonan itu dilulus KDN melalui surat bertarikh 18 Jun 1990 dengan bayaran permit sebanyak RM1,000 setahun berbanding RM800 sebelum itu.

Bagaimanapun bermula 1995 bayaran permit Harakahtidak lagi seba nyak RM1,000 setahun sebagaimana sebelum itu, tetapi hanya RM50 setahun kerana diklasifikasikan sebagai surat berita.

Menurut bekas Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman setiap kali memohon permit baru Harakah, KDN seringkali memperingatkan supaya mematuhi syarat-syarat permit penerbitan dan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sebagai garis panduan.

Sarjana bidang komunikasi, Dr Jeniri Amir dan Dr Hamedi Mohd Adnan menyifatkan akhbar alternatif muncul di Malaysia kerana penguasaan sepenuhnya kerajaan terhadap media massa. Media alternatif menjadi wadah kepada kumpulan yang kecewa kerana disisih daripada mendapat tempat di media arus perdana bagi mengungkap aspirasi dan perjuangan mereka.

Selain itu Dr Jeniri dan Dr Hamedi menyifatkan akhbar tersebut memainkan peranan bagi memantau kegiatan kerajaan dengan mengkritik sebarang penyelewengan dan perlanggaran yang dikesan berlaku.

Sebaliknya bagi kerajaan, akhbar yang bebas dianggap boleh menjejaskan kestabilan negara dan kepentingan awam.

Realiti itu berlaku kepada akhbar-akhbar milik pembangkang di negara ini, di mana terpaksa berdepan dengan pelbagai sekatan dan halangan sehingga akhbar milik Parti Keadilan Rakyat tidak diberi permit pernerbitan sehingga sekarang.

Akhbar itu digantung permit pada 30 Jun 2010.[7]

KDN menggantungkan permit Suara Keadilan berkuatkuasa pada 1 Julai 2010 ekoran pendedahan akhbar itu terhadap masalah kewangan yang dihadapi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

KDN juga pernah menggantungkan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuatkuasa 23 Mei 2009 kerana didakwa memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin.

Bagaimanapun Ismail Hashim Yahaya menyifatkan ruang yang seharusnya dimainkan wartawan sebagai intelektual awam diperosokkan sehingga ke punggung atau ceruk dapur.[9]

Malah ada yang berani berhujah dengan mengatakan pemikiran rakyat Malaysia akan sentiasa kolot dan mundur sekiranya media di Malaysia terus dikongkong kerajaan dan dibiarkan berada pada tahap lama.

Halangan awal penerbitan Harakah
Ketika peringkat awal penerbitan Harakah, Subky mengakui sukar hendak mencari petugas sehingga terpaksa meminta PAS negeri- negeri hantar calon untuk dilatih menjadi wartawan.
Berikutan itu antara yang hadir yang menjadi latihan termasuk Ahmad Lutfi Othman, Zulkifli Sulung dan seorang wakil dari Kedah.

Turut sama terbabit bagi menerbit Harakah pada peringkat awal iaitu bekas anggota Exco kerajaan Kelantan, Husam Musa.

Bagaimanapun Subky memberitahu pelatih yang benar-benar istiqomah men jadi wartawan selepas 10 hari latihan diadakan di Markas Tarbiah PAS Taman Melawar, Gombak hanya Zulkifli Sulong dan Ahmad Lutfi Othman.

Turut mengikuti kursus kewartawanan pada peringkat awal iaitu Mohamad Sabu dan Riduan Onn selepas mereka tewas pada pilihan raya umum 1986 kerana tidak mempunyai pekerjaan, namun mereka tidak kekal lama.

Subky mengendalikan penerbitan Harakah bersama Yusof Jalil iaitu bekas wartawan Utusan Melayu bekas guru, Ishak Surin. Ketika kursus kewartawanan diadakan menurut Subky penyokong PAS yang tinggal berdekatan dengan Markas Tarbiah menghantar makanan kerana pelatih terbabit tidak diberi sebarang elaun.

Selepas keluaran sulung berada di pasaran Harakah menghadapi masalah untuk mencetak edisi kedua kerana tidak ada syarikat percetakan yang sanggup hendak mencetak.

Masalah dihadapi Harakah apabila pencetak tidak mahu mencetak kerana Subky dinamakan sebagai pengarangnya. Subky mengakui sebelum terbabit menerbit Harakah beliau mengendalikan penerbitan beberapa akhbar termasuk Suara Merdeka, Warta dan Watan.

Kebanyakan pencetak di Kuala Lumpur yang ditemui Subky enggan memberi kerjasama. Bagaimanapun menurut Subky suratkhabar Tamil di Jalan Ipoh sanggup untuk mencetak Harakah edisi yang kedua.

Selepas selesai cetakan itu mereka juga tidak mahu lagi memberi kerjasama tanpa menyatakan sebarang alasan sama ada tekanan daripada kerajaan atau tidak.

Namun akhirnya Subky mendapat tahu puncanya kerana Harakah menyiarkan tulisan menghentam MGR, iaitu sebuah filem Star Tamil yang dikaitkan de ngan isu Ketua Menteri Tamil Nadu. Tulisan itu mengkritik menteri terbabit kerana beliau dikatakan bersikap anti-Islam.

Subky kemudiannya menemui sahabat lamanya seorang tauke Cina bernama Anthony Goh. Beliau memiliki kilang percetakan namanya Percetakan Poligrafik.

Subky pernah mencetak Suara Merdeka dan majalah Sarina dengan pencetak terbabit.

Ketika itu kilang percetakan itu sudah tidak ber operasi. Percetakan Poligrafik kemudiannya dimiliki saham majoriti oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sehingga menyebabkan saham dimiliki Goh hanya tinggal sedikit.

Abim pada masa itu berkiblat kepada Umno kerana pengasasnya Anwar Ibrahim menyertai Umno pada 1982. Selepas percetakan berkenaan dimiliki Abim, Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Mohd Noor ditugas menjaga percetakan tersebut.

Menurut Subky, Harakah sedia membayar tunai kepada Goh selepas suratkhabar terbabit siap dicetak. Goh mengenakan upah cetak lebih murah berbanding dengan percetakan milik akhbar Tamil. Selepas Harakah habis dijual Subky dapat mengumpul wang sebanyak RM5,000.

Kos percetakan pada masa itu sekitar 50 sen setiap naskhah. Dan setiap minggu Subky membayar Goh sebanyak RM5,000.

Syarikat percetakan tersebut beroperasi dengan lancar selepas projek mencetak Harakah. Bagaimanapun selepas itu Abim melantik Nik Aziz Nik Hassan iaitu bekas pensyarah sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia mengurus kilang percetakan tersebut.

Selepas Nik Aziz dilantik mengurus kilang percetakan beliau kemudian memperkenalkan polisi baru, di mana setiap kali Harakah hendak dicetak perlu terlebih dahulu ditunjukkan kepadanya untuk disemak.

Subky memberitahu Nik Aziz, faktor seperti itulah antara punca beliau berhenti bekerja di Utusan Melayu sebelum itu.

Bagaimanapun, disebabkan kilang percetakan itu milik Abim menyebabkan beliau terpaksa akur dengan syarat pihak editorial Harakah tidak mahu membuat kerja dua kali. Nik Aziz diminta menandakan mana-mana bahagian rencana dan berita yang perlu diubahsuai.

Menurut Subky, Harakah tetap menghentam Umno sehingga menyebabkan Nik Aziz tidak boleh berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, pada suatu malam selepas Ishak Surin menghantar layout (dummy) yang sudah siap untuk dicetak, namun sehingga jam 1 pagi Nik Aziz tidak mengusik untuk membuat sebarang pembetulan.

Sedangkan pengedar sudah ramai menunggu di kilang percetakan tersebut.

Lama selepas itu barulah Nik Aziz memberitahu mereka tidak akan men cetak Harakah tanpa ditukar isi kandungannya. Subky memberitahu tidak ada syarikat percetakan di Kuala Lumpur yang bersedia untuk mencetak Harakah.

Ekoran itu dami yang sudah disiapkan terpaksa dibuat blok huruf dengan syarikat Cina, Tong Kwang.
Tong Kwang turut menolong mendapatkan syarikat percetakan di Pulau Pinang.

Malam itu juga kata Subky, Ishak Surin dengan Rahim Kassim (editor) pergi ke Pulau Pinang. Kesanggupan syarikat percetakan di Pulau Pinang mencetak Harakah mengejutkan pemimpin ABIM.

Menurut Subky kerjakerja sabotaj Umno terhadap Harakah bermula sejak awal lagi untuk memastikan akhbar milik PAS itu gagal diterbitkan. Selepas itu Harakah dicetak semula di Kuala Lumpur di syarikat percetak an Gan Printer.

Bermula dari situlah Harakah terus membesar sehingga edarannya meningkat kepada 12,000 naskhah.

KemudianHarakah diurus Mustafa Ali manakala Subky Abdul Latif, Ishak Surin dan Rahim Kassim berhenti daripada Harakah.

Edaran Harakah terus meningkat sehingga ratusan ribu. Bagaimanapun menurut Subky, Harakah masih berdepan dengan dugaan apabila pencetak turut membuat pengedaran sendiri belum sampai naskhah yang diurus bahagian pengedaran Harakah.

Apabila disiasat ruparupanya pencetak itu melakukan cetak rompak.

Menurut Subky keadaan itu menyebabkan Harakah merosot kerana tindakan sabotaj dilakukan kilang percetakan. Selepas peristiwa itu Harakah kemudiannya dicetak dengan Angkatan Edaran milik Azlan Jan sehingga sekarang.

Oganisasi Harakah 

Harakah merupakan lidah rasmi PAS mulai diterbit pada 27 Mac 1987 bagi menggantikan al Harakah yang sering berdepan dengan tindakan rampasan oleh KDN kerana diterbit tanpa permit.

Harakah yang dimiliki PAS sering mengkritik kerajaan sehingga menyebabkan Mahathir Mohamad terpaksa bertolak ansur dengan akhbar milik pembangkang. Sejak diwujudkan, Harakah diketuai Subky Abdul Latif, Zin Mahmud, Ahmad Lutfi Othman, Taufek Yahya, Zulkifli Sulong, Suhaimi Mokhtar, Ahmad Lutfi dan sekarang Wan Nordin Wan Yaacob.

Harakah diletak di bawah Lajnah Penerangan PAS Pusat. Harakah mempunyai lembaga pengarah yang diketuai Ustaz Idris Ahmad.

Anggota jemaah pengarah lain terdiri daripada wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, wakil Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Penerangan PAS Pusat.

Pentadbiran Harakah diketuai seorang Pengarah Urusan, di mana sekarang Dr Rosli Yaakob. Pengarahpengarah Urusan Harakah sebelum ini iaitu Kamaruddin Jaffar, Hisamuddin Yahya, Azizan Abdul Razak, Daeng Sanusi Daeng Mariok, Mustafa Ali dan Nakhaie Ahmad.

Kakitangan Harakah terdiri daripada wartawan, bahagian pentadbiran dan kewangan, pengedaran, pengiklanan, Unit Teknikal Layout dan Unit Buku serta Bazaar Harakah. Harakah juga mempunyai cawangan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Selain itu Harakahdaily. net yang merupakan laman berita dalam talian juga di bawah pengurusan Harakah. Sehingga sekarang harakahdaily.net mempunyai lebih sejuta peminat berdasar kepada “like” yang dilakukan pelayar internet sehingga sekarang. Tema yang digunakan sebagai motto Harakah pada peringkat awal iaitu Ke Arah Perpaduan Ummah dan mulai Oktober 1991 ditukar kepada Membangun Bersama Islam.

Memandangkan Harakah merupakan lidah rasmi PAS menyebabkan ia sentiasa menjadi isu yang dibangkitkan setiap kali berlangsung muktamar tahunan PAS.

Pada muktamar yang diadakan di Kota Bharu pada tahun 2013 isu Harakah tidak ketinggalan dibangkitkan perwakilan termasuk isu kurang berita yang dimuatkan daripada Dewan Ulamak PAS Pusat. Selain itu iklaniklan ubat tradisional yang kerap memenuhi halaman akhbar Harakah sehingga mengurangkan ruang untuk berita, juga menjadi bahan kritikan perwakilan.

Setiap isu yang dibangkitkan perwakilan dijawab Pengerusi Jemaah Harakah, Mustafa Ali yang juga Setiausaha Agung PAS.

Malah hampir kesemua halaman Harakahmemuatkan berita sekitar muktamar yang berlangsung termasuk ucapan penuh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pada peringkat awal Harakah hanya dicetak sekitar 8,000 hingga 12,000 naskhah setiap keluaran.
Bagaimanapun selepas tahun 1997 jumlah yang dicetak meningkat sehingga 65,000 naskhah setiap keluaran.

Penerbitan Harakah pada peringkat awal dengan kekerapan seminggu sekali dan mulai 1990 Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Mahathir Mohamad melulus penerbitan dua kali seminggu.

Bagaimanapun pada 2003 ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri penerbitan Harakah dikurangkan kepada dua kali sebulan.

Menurut Jeneri Amir dan Hamedi Mohd Adnan (2013) ketika edaran Harakah kurang 80,000 naskhah, KDN tidak menguatkuasa peraturan bagi membenarkan akhbar itu dijual secara terbuka. Sebenarnya sejak 1991 lagi Harakah dan Roket akhbar milik DAP dikenakan syarat hanya dijual untuk ahli sahaja.

Harakah dan Pemilihan Umno 1987

Selepas kira-kira lima tahun Mahathir menerajui kerajaan bersama Musa Hitam, tiba-tiba regu yang dikenali ramai ketika itu iaitu 2M (Mahathir dan Musa) akhirnya berpecah. Kemuncaknya Musa Hitam meletak jawatan pada 16 Mac 1986.[13]

Bermula dari situ pergolakan dalam parti Melayu yang terbesar di Malaysia itu makin panas.
Kepimpinan Mahathir mulai berdepan dengan krisis dalaman apabila Musa Hitam meluahkan rasa tidak puas hati selepas Mahathir menyebut pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Januari 1986, ada pihak mahu menjatuhkan Perdana Menteri. Menurut sarjana Mohd Rumaizuddin, Mahathir menegur Musa berkaitan isu pembahagian kontrak. Pada 7 Mei 1986 Mahathir melantik Ghafar Baba menggantikan tempat Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Konflik dalaman Umno semakin melebar apabila Musa Hitam bergabung pula dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi mencabar Mahathir dan Ghafar Baba.
 Perhimpunan Agung Umno pada 24 April 1987 Mahathir hanya menang 43 undi mengatasi Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno, manakala Musa Hitam tewas dengan kekurangan 40 undi kepada Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.[14]

Harakah muncul ketika krisis dalaman Umno sedang memuncak, di mana turut mengambil peluang menjadikan isu pergolakan dalaman parti Melayu tersebut untuk dijadikan bahan berita dalam akhbar berkenaan. Biar pun baru muncul di pasaran, namun Harakah menggunakan peluang isu dalaman Umno yang berlaku untuk menonjolkan lagi konflik terbabit biar pun tidak dilakukan secara menyeluruh.

Harakah juga muncul ketika Operasi Lalang sedang berlaku sehingga membawa kepada penggantungan beberapa akhbar termasuk Watan, Mingguan Bumi, Sin Chew Jit Poh dan The Star pada 28 Oktober 1987. Selain itu seramai 106 orang termasuk pemimpin pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Harakahmuncul tepat pada masanya bagi menyambung perjuangan yang ditinggalkan sementara akhbar terbabit selepas digantung permit oleh KDN.

Harakah dan pilihan raya umum 1990 dan 1995 

Krisis yang menimpa Umno pada 1987 menyebabkan sokongan orang Melayu terhadap parti Melayu itu berpecah dua iaitu satu kumpulan kekal menyokong kepemimpinan Mahathir Mohamad dan satu lagi berpihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Kumpulan yang tidak berpuas hati terhadap kekalahan Tengku Razaleigh mendakwa terdapat 30 cawangan Umno yang dianggap tidak sah sehingga menyebabkan Pemilihan Umno pada 24 April 1987 juga dikatakan tidak sah.[15]

Ekoran itu menurut Ainol Jamal kumpulan 11 telah membawa kes tersebut ke mahkamah kerana dianggap bertentangan dengan Akta Pertubuhan di bawah Seksyen 70. Pada penghakimannya Mahkamah Tinggi menganggap Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah pada 4 Febuari 1988.

Setelah Umno diharamkan Tengku Razaleigh Hamzah membawa usul di parlimen pada 5 Disember 1988 supaya Umno lama dihidupkan melalui pindaan undang-undang pertubuhan, namun usul tersebut ditolak. Selepas gagal menghidupkan Umno lama beliau akhirnya menubuh Parti Melayu Semangat 46 pada Mei 1989.[16]

Mahathir Mohamad pula mewujudkann Umno Baru dan pendaftarannya dilulus pada 17 Febuari 1988.

Mohd Rumaizuddin menyifatkan isu pengharaman Umno telah membawa kepada kejayaan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Parti Melayu Semangat 46, PAS, Hamim dan Berjasa menang di Kelantan pada pilihan raya umum Oktober 1990. Kemenangan besar Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan turut disumbang faktor sokongan terhadap Mahathir Mohamad merosot kerana masalah korupsi, di samping kemampuan Presiden PAS, Mohd Fadzil Noor membentuk gabungan alternatif yang berpaksi kepada Islam bagi menghadapi Umno dan BN pada pilihan raya umum 1990.[17]

Sesetengah kelompok orang Melayu menyertai barisan pembangkang bagi mencabar Umno pilihan raya umum 1990.

Harakah turut merakam peristiwa konflik yang berlaku dalam Umno untuk diketengahkan kepada masyarakat terutamanya kalangan penyokong PAS dan masyarakat Melayu secara lebih meluas lagi.

Ahmad Lutfi Othman menyifatkan apa yang dilakukan Harakah turut menyumbang kepada kemenangan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

Peranan dimainkan Harakah dianggap sangat penting bagi merubah sikap rakyat sehingga mampu mempengaruhi mereka sebagai pengundi untuk membuat pilihan. Bekas pensyarah UKM, Kamaruddin Jaffar pula menyifatkan ahli-ahli PAS terutamanya di kampung-kampung bergantung kepada ceramah dan akhbar Harakahh bagi mendapat tahu perkembangan semasa yang berlaku di seluruh negara.

Pada pilihan raya umum 1990 bilangan kerusi BN merosot kepada 127 kerusi, PAS meningkat kepada 7 kerusi berbanding satu pada pilihan raya umum 1986. Parti Melayu Semangat 46 yang pertama kali bertanding mendapat 8 kerusi parlimen, DAP (20 kerusi) dan Bebas (4 kerusi).

Manakala PBS yang turut menyertai Gagasan Rakyat bersama Parti Melayu Semangat 46 dan PAS pula mendapat 13 kerusi parlimen. Hasil kerjasama tersebut Gagasan Rakyat berjaya memerintah Sabah dan Angkatan Perpaduan Ummah pula mentadbir Kelantan.

Berbeza pula situasinya ketika menjelang pilihan raya umum 1995, di mana hubungan dalam Angkatan Perpaduan Ummah mulai merosot. Rentetan ke arah itu bermula selepas kerjasama dalam Gagasan Rakyat berpecah setelah DAP keluar daripada gagasan itu pada 25 Januari 1995.

Menurut Ruhanie Ahmad, PBS lebih awal bertindak keluar daripada Gagasan Rakyat iaitu pada 2 April 1991, manakala India Progresif Front (IPF) keluar daripada pakatan tersebut pada Febuari 1995. Sedangkan pada peringkat awal Gagasan Rakyat dibentuk mengandungi Parti Melayu Semangat 46, PBS, IPF, PRM, DAP dan Kimma, manakala Angkatan Perpaduan Ummah pula dianggotai Parti Melayu Semangat 46, PAS, Berjasa dan Hamim.

Parti Melayu Semangat 46 pula menghadapi masalah dari awal lagi apabila beberapa tokoh utama parti itu bertindak keluar parti dengan didahului Ahli Majlis Tertinggi, Radzi Sheikh Ahmad keluar pada 17 Mac 1991, diikuti Ketua Pemuda, Ibrahim Ali yang juga anggota parlimen Pasir Mas pada 22 Mac 1991. Turut mengambil langkah serupa Ketua Wanita Parti Melayu Semangat 46, Rahman Osman pada 1 Febuari 1994 dan Naib Presiden parti tersebut, Marina Yusoff pada 27 September 1994.

Kesan daripada pergolakan dalaman yang berlaku membabitkan PAS dan Parti Melayu Semangat 46 menyebabkan sokongan terhadap parti terbabit merosot pada pilihan raya umum 1995 di mana Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan mendapat 12 kerusi parlimen iaitu merosot dua kerusi parlimen serta memperolehi tujuh kerusi Dun. Satu lagi kerusi parlimen PAS dimenangi di Terengganu.

DAP mencatat kemerosotan lebih ketara apabila hanya menang sembilan kerusi parlimen berbanding 20 kerusi dimenangi parti itu pada pilihan raya umum 1990. PBS juga merosot apabila hanya menang di lapan kerusi parlimen berbanding 14 kerusi pada pilihan raya umum 1990. BN pula menguasai 162 daripada 192 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya tersebut.[18]

Harakah dan cabaran 

Cabaran utama penerbitan akhbar di Malaysia ialah terdapat banyak undang-undang dan peraturan digubal kerajaan sebagai syarat utama sebelum sesebuah akhbar dibenarkan diterbit dan diedarkan. Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab bagi mengeluarkan permit penerbitan akhbar yang dipohon mana-mana pihak.

Sarjana Sankaran Ramanathan menyebut undang- undang yang menentukan dan mempengaruhi pemilikan, pengendalian dan pengurusan akhbar pada era moden di Malaysia dipinda pada dekad-dekad 1970-an dan 1980-an.

Peraturan-peraturan yang diwujudkan kerajaan menyebabkan penerbitan akhbar yang dilihat ada kecederungan mengkritik kerajaan berdepan dengan banyak kesukaran seperti dilalui penerbitan Harakah, Suara Keadilan dan Roket.

Menurut Ahmad Lutfi Othman dan Subky Abdul Latif, pada peringkat awal penerbitan Harakah berdepan dengan bermacam halangan antaranya sukar mencari pen cetak yang mahu memberi kerjasama bagi menerbitkan Harakah sehingga terpaksa dicetak di Pulau Pinang.

Namun Sankaran Ramanathan menyifatkan kewujudan Harakah sebagai menggambarkan tanda ke arah sikap kerajaan yang le bih liberal terhadap parti-parti pembangkang.

Bagaimanapun Mustafa K Anuar mempertikaikan hujah tersebut kerana baginya Harakah hanya sebagai media parti dan tidak sama dengan akhbar biasa. Baginya apabila disekat mencacat nilai demokrasi itu sendiri.

Jeniri Amir pula menyifatkan kelantangan akhbar alternatif biar pun berdepan dengan pelbagai cabaran dan tekanan, namun ia mampu menyumbang ke arah kematangan sistem demokrasi di negara ini.

KDN mengenakan pelbagai syarat kepada Harakah termasuk mengurangkan kekerapan kepada dua kali sebulan mulai Mac 2000 berbanding sebelum itu penerbitannya dua kali seminggu.

Ia berlaku selepas pengaruh PAS mening kat sehingga berjaya memenangi 27 kerusi parlimen pada era reformasi.

Selain itu Harakah juga dikenakan syarat ketat apabila hanya dibenarkan dijual kepada ahli PAS sahaja, dan tidak boleh dijual secara terbuka di gerai-gerai akhbar bersama akhbar lain mulai Mei 1991. Syarat permit Nombor 11 dan 12 disebut KDN – “Harakahhendaklah diedar kepada kepada ahli-ahli parti sahaja dan tidak boleh diedar atau dijual kepada masyarakat (orang ramai).”

KDN juga mengarahkan supaya disediakan rak khas untuk menjual akhbar Harakah sehingga menyebabkan pihak pengurusan Harakah membelanjakan kira-kira RM70,000 bagi menyediakan kemudahan tersebut kepada penjual akhbar. KDN juga mengeluarkan arahan supaya penjual Harakah tidak mempamerkan akhbar Harakah secara terbuka dan hanya boleh dijual markas dan cawangan PAS yang berdaftar sahaja. Polis dan KDN merampas naskhah Harakah yang dijual di kaki lima dan gerai akhbar.

Polis berpakaian seragam dan cawangan khas seringkali menakut-nakutkan pengedar Harakah di sekitar Wilayah Persekutuan sehingga ada yang menggertak mereka untuk ditangkap. Malah polis dan KDN juga merampas naskah Harakah daripada penjual.

Selepas Harakah mendapat sambutan hangat pada era reformasi KDN menetapkan enam syarat yang perlu dipatuhi pengurusan Harakah iaitu hanya boleh diedar kepada ahli-ahli PAS sahaja, notis “Harakah dijual kepada ahli-ahli PAS sahaja” hendaklah dipamer di semua tempat jualan, isuisu tiada kaitan dengan PAS tidak harus dimuat.

Selain itu KDN meminta pengarang Harakah lebih berhati-hati menyiarkan tajuk tertentu bagi mengelakkan salah faham, kesemua pengedar Harakah hendaklah terdiri daripada ahli PAS sahaja dan Ketua Pengarang hendaklah menapis dengan teliti rencana dan gambar yang boleh mengugat keselamatan negara.

Pada tahun 1998 operasi merampas Harakah diadakan di seluruh negara termasuk Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Tekanan KDN terhadap Harakah bertambah lagi ketika menjelang tahun 1999 dengan arahan pengedaran dan penjualan Harakah ha nya dihadkan di markas dan pejabat-pejabat PAS sahaja.
Ini dibuktikan pada 18 Julai 2013 kira-kira 500 naskah Harakah dan Suara Keadilan dirampas oleh kakitangan KDN dan polis di beberapa kedai di Temerloh, Pahang.

Tekanan paling dirasai pengurusan Harakah apabila permit akhbar itu yang berakhir 28 Febuari 2000 diperlewatkan untuk diperbaharui oleh KDN. Kemuncak tekanan KDN terhadap Harakah apabila permit baru yang dikeluarkan pada 6 Mac 2000 mengurangkan kekerapan penerbitan Harakah kepada dua minggu sekali berbanding dua kali seminggu sebelum ini.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi ketika itu pernah mengeluarkan ke nyataan akan memberi permit penerbitan akhbar dengan kekerap an sekali seminggu kepada semua parti-parti politik, namun permit akhbar milik PKR tidak diberi sehingga sekarang.

Tindakan KDN tidak berakhir di situ, sebaliknya Harakah dan Suara Keadilan digantung penerbitan selama tiga bulan bermula 23 Mac 2009. Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar memberitahu penggantungan itu berkuatkuasa serta merta kerana kedua-dua akhbar terbabit didakwa memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan cubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan.[19]

Bagaimanapun menurut Ahmad Lutfi penggantungan itu ditarik balik Perdana Menteri, Najib Abdul Razak pada 3 April 2009 menjelang pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang, Dun Batang Ai di Sarawak dan DunBukit Selambau di Kedah. Harakah juga diberi surat tunjuk sebab kerana gagal menghantar lapan salinan (naskhah) pada setiap keluar an kepada KDN. Harakah juga sering berdepan dengan tindakan saman pihak tertentu kerana tidak berpuas hati terhadap laporan dibuat akhbar milik PAS itu.

Pada 11 Disember 2012 Harakah menerima notis tuntutan saman daripada FELDA ekoran penyiaran berita yang mendakwa FELDA menjual minyak kelapa sawit kepada Israel. Umno Selangor juga pada 14 September 2011 menyaman Harakah kerana menyiarkan dakwaan parti itu sebagai dalang dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Gereja Methodist di Damansara Utama.

Maka tidak hairanlah Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir meminta rakyat menolak media milik pembangkang kerana dianggapnya sering menabur fitnah terhadap pemimpin kerajaan BN.

Di Malaysia kerajaan mewujudkan beberapa undang- undang dan peraturan bagi mengawal penerbitan akhbar terutamanya bagi mengelakkan isu-isu membabitkan keselamatan negara dan perkauman yang dianggap boleh mengundang situasi tidak aman dalam negara. Akta terbabit iaitu Akta Mesin Cetak, 1948; Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960; Akta Hasutan, 1948; Akta Kawalan Kemasukan Bahan-Bahan Bercetak, 1958; Akta Rahsiarahsia Rasmi, 1972 dan Ordinan Fitnah, 1957.

Kesimpulan

Jeniri Amir menyifatkan sesiapa pun yang memimpin negara, mereka akan memastikan akhbar-akhbar utama diketuai oleh pengarang yang setia dan menyokong dasar kepemimpinannya.

Maka tidak hairanlah Rustam A Sani menyifatkan pada zaman pemerintahan Mahathir Mohamad, ruang demokrasi digunakan sepenuhnya tidak lebih sebagai gelanggang monolog untuk Mahathir.

Malah Mahathir pernah dikelompok sebagai antara 10 musuh akhbar di dunia kerana tindakan tegasnya mengawal dan menyekat kebebasan akhbar.[20] Situasi itu lebih-lebih lagi dirasai pengarang Harakah apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai peraturan dikuatkuasa kerajaan Malaysia sehingga menyebabkan pengedarannya tidak meluas berbanding akhbarakhbar utama lain.

Bukan sekadar Harakah yang terpaksa berdepan dengan undang-undang penerbitan akhbar di Malaysia, sebaliknya kerajaan pernah menggantungkan akhbar Eksklusif, majalah Kemelut, Panji Masyarakat, Detik dan Al-Wasilah yang dianggap menyiarkan rencana boleh memudaratkan negara.

Ekoran itu pemimpin pembangkang, Muhammad Nur Manuty menyifatkan pemikiran rakyat Malaysia kolot dan mundur sekiranya media di negara ini terus dikongkong kerajaan. Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam kajian pada September 2013 merumuskan BN menyalahgunakan kuasa untuk kekal dalam kerajaan.

Reporters Without Borders (RSF) pula menyifatkan indeks kebebasan media di Malaysia merosot ke tangga 145 pada 2014 berbanding kedudukan di tangga 179 pada 2013 disebabkan peranan dimainkan kerajaan pusat. Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat pula mereka yakin Harakah adalah akhbar alternatif terbaik yang pernah wujud di arena media di tanah air.

Begitu juga bagi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau menganggap PAS memiliki kekuatan dua media utama iaitu Harakah dan Harakahdaily.

net bagi menampan serangan musuh-musuh PAS dalam media arus perdana.

A.F.Yassin berpendapat pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit surat khabar itu sendiri.”[21]

Oleh itu Harakah muncul mengimbangi maklumat yang disebarkan media milik golongan sekular sebagai medan pertempuran antara hak dan batil. Ini kerana Dunia Islam perlu menguasai media untuk berperanan seperti Majalah Impact, sebuah majalah antarabangsa diwujudkan pada 1971 kini diedarkan ke-85 negara dengan edarannya sebanyak 100,000 naskhah. Impact berperanan bagi memberi maklumat yang lebih seimbang mengenai dunia Islam dalam perspektif yang lebih betul berbanding media lain milik organisasi lebih besar. Begitu juga kelahiran agensi berita Al Jazeera memberi wajah baru perkembangan kewartawanan berbentuk Islam di dunia. Al Jazeera berkembang cepat ke seluruh dunia dan pengaruhnya tidak dapat dinafikan bagi menyebarkan maklumat lebih seimbang dalam kalangan negara Islam.

Rujukan:
 [1] Wan Hashim Wan Teh, Memoir Politik Asri Meniti Arus, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1993, hlm 15.

[2] Dr Zulkiflee Muhammad merupakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dan anggota parlimen bagi kawasan Bachok pada pilihan raya umum 1964. Beliau berasal dari Kuala Kangsar.
Bagaimanapun selepas menang pada pilihan raya tersebut beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kuantan.

[3] Suara Islam bil empat tahun tiga, hlm 2.

[4] Baharuddin Abdul Latif, Islam Memanggil, Rencana-Rencana Sekitar Perjuangan PAS (1951-1987), Pustaka Abrar, 1994, hlm 1.

[5] Subky Abdul Latif, Propagandis Zaman, Kemilau Republika Sdn Bhd, 2013, hlm 101.

[6] Subky Latiff [7] Haika Khazi, Harakah Diberi Tujuh Hari Jawab Surat Tunjuk Sebab, Berita Harian, 8 Julai 2010.

[8] Akhbar Suara Keadilan diterbit PKR

[9] Ismail Hashim Yahaya, Media Hegemonik dan Persaingan Ide, Siasah 18-24 Julai 2000.

[10] Op Cit, Abdul Rashid Abdul Rahman, Perjalanan Pilihan Raya Malaysia, hlm lampiran XVI.

[11] Mohd Zain Saleh, Analisa Pilihan Raya Negeri Kelantan 1986, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, 1986, hlm 102.

 [12] Ahmad Atory Hussain, YB Oh YB! Antara Peranan dan Tanggungjawab, 2010, hlm 153.

[13] Mohd Rumaizuddin Ghazali, Pembangunan Islam di Malaysia Era Mahathir, 2011 hlm 63.

[14] Mohd Rumaizuddin Ghazali,

>> Penulis adalah Ketua Biro Harakah Kelantan yang sedang menyiapkan thesis Masternya di USM.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER